Tuesday 8 December 2015

Pak Yus dalam kenangan

Pada 30 November 2015, kita dikejutkan dengan pemergian Pak Yus kumpulan Jambu, pelawak tanah air. Pak Yus pergi pada usia muda 39 tahun. Pemergiannya secara mengejut memang menggemparkan kerana rasanya rata-rata daripada kita melihat Pak Yus sihat dan steady je.

Seingat aku tak pernah la aku kisah sangat sebelum ni bila mendengar berita kematian artis.. Tapi bila arwah Pak Yus pergi, tak dinafikan memang sedikit sebanyak aku rasa sedih.
Bagiku jenaka Pak Yus sangat menghiburkan dan sempoi :-) Selepas ni, tak ada dah peluang melihat gelagat lucu Pak Yus di kaca TV.

Sebenarnya pemergian arwah Pak Yus memberi beberapa pengajaran, setidak-tidaknya buat aku.

  1. Mati tidak mengenal usia. Mati bukan hanya sinonim untuk mereka yang tua, yang sakit. Pesan PU Taha dalam tazkirah pada rancangan khas mengingati Pak Yus Jumaat lepas - Orang yang paling pandai bukanlah orang yang paling berilmu, bukan juga mereka yang paling banyak mengumpul harta. Tetapi orang yang paling pandai adalah mereka yang paling banyak mengingati mati dan paling bersedia menghadapinya. Ya Allah, semoga aku sentiasa ingat tentang ini.
  2. Dalam rancangan mengingati Pak Yus jumaat lepas, didedahkan bahawa Pak Yus suka memberi hadiah. Beliau memberi hadiah seruling, jersey, dan apa saja hadiah walaupun simple, kepada kawan-kawannya. Kawan-kawannya pun artis, bukan orang miskin yang memerlukan pun. Tapi itulah sifatnya, suka memberi. Disiarkan juga bahawa Pak Yus ada pergi ke rumah anak yatim, sekolah agama, dan rumah orang-orang tua di negeri asalnya, Perlis. Beliau berjumpa dan menghiburkan hati penghuni rumah tersebut serta memberi sumbangan kewangan. Kata Pak Yus, "Duit yang saya dapat ni bukan duit saya, tapi duit anak yatim, OKU dan orang miskin." Ya Allah, bertuahnya Pak Yus. Sifatnya yang suka memberi menjadikan beliau disenangi oleh teman-temannya. Sedekah jariahnya menjadi pelaburan akhirat yang terus menerus menyemai pahala. Semoga Allah merahmatinya. Bagaimana pula dengan aku? Apakah tanganku masih berat untuk menghulurkan bantuan? Gemar melabur dalam ASB, tabung haji tetapi melupakan saham akhirat??? Harta pelaburan kamu yang sebenar adalah harta yang kamu belanjakan pada jalan Allah.
  3. Jangan memandang rendah pada orang lain. Sekalipun dia artis, dia tidak sempurna menutup aurat, dia tidak sewarak kamu, mungkin amalan baiknya lebih banyak daripada kamu. Mana tahu amalannya lebih diterima Tuhan daripada amalan orang yang 'warak' tetapi suka mencaci dan ujub dengan kebaikan diri sendiri.
  4. Rakan-rakan seperjuangan Pak Yus mengalirkan air mata dengan pemergian Pak Yus. Bagiku, mereka sungguh-sungguh menangis. Mereka menyatakan rindu pada kemesraan Pak Yus. Pak Yus suka memuji, Pak Yus menenangkan dan memberi suntikan semangat bila mereka 'down', Pak Yus suka buat kejutan cium pipi :-P. Well.. aku tak pasti adakah kawan-kawanku akan menangis begitu bila aku mati. Semoga aku juga dapat menjadi manusia yang membuatkan orang lain rasa senang dan gembira dengan kehadiranku. 
Terima kasih Pak Yus. Kehadiranmu menghiburkan kami, pemergianmu satu kehilangan. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa dan menilai segala usaha kebaikanmu. Al-Fatihah.

Thursday 22 October 2015

KUIH SERI MUKA

Minggu ke-2 raya haji, tiba-tiba gatal nak buat ketupat daun palas. Siap membeli beras pulut 2 bungkus, suami kata nak cari daun palas kat mana.. orang tak jual dah time lepas raya. Aduh..
Minggu lepas, stok beras pulut ni digunakan untuk masak kuih tradisional kegemaran ramai.. Kuih Seri Muka. ^_^

Resepi ni diambil dari blog kak azie, aziejaya.blogspot.com. Betul kak Azie cakap, resepi ni menghasilkan kuih seri muka yang lembut lembik gitu (lapisan hijau).. sedap. Lepas masak, excited terus bawa panas-panas ke rumah mak ayah, sebab ayah memang peminat tegar kuih seri muka. Wahh, happy sebab ayah puji sedap!


Bahan-bahan

Lapisan bawah:

500g beras pulut
300ml santan
300ml air
2 sudu kecil garam

Rendam beras pulut selama 4 jam (saya rendam 3 jam saja). Basuh bersih dan toskan.
Kukus pulut bersama semua bahan di atas selama 30 minit. Setelah masak, gaulkan dan tekan padat di dalam loyang. Alaskan loyang dengan plastik untuk mengelakkan pulut melekat nanti.

*Saya modify buat separuh saja dari kuantiti bahan-bahan di atas untuk lapisan ni. Tapi bahan untuk 'lapisan atas' saya kekalkan kuantiti seperti dalam resepi ni. Sebabnya saya tak suka lapisan pulut tebal. Terpulang pada selera tekak masing-masing.

Lapisan atas:

Bahan A
250g gula castor
100g tepung kastad
400ml santan pekat (saya guna 1 biji kelapa)
8-10 helai daun pandan
400ml air (gunakan air ini untuk blend daun pandan dan tapis)

Bahan B
4 biji telur
1/2 sudu teh garam halus
Sedikit pewarna hijau (Saya tak letak. Jika pentingkan warna hijau cantik, sila masukkan..)

Cara-caranya

Kacau rata bahan A. Kemudian masukkan bahan B dan kacau hingga sebati atau boleh gunakan blender. Tapis ke dalam periuk dan masak selama 2-3 minit sehingga naik wap.
Tuangkan ke atas lapisan pulut tadi.
Kukus selama 30 - 40 minit.
Setelah disejukkan, potong dengan pisau plastik.


Tekstur dan rasa memang puas hati. Cuma sebab saya tak letak pewarna, warnanya tak cantik sangat. Warna hijau dari air daun pandan asalnya cantik, tapi bila dicampurkan dengan tepung kastad, hasilnya jadi warna hjau kekuningan. So next time kalau nak beri tetamu makan, mungkin saya tambah sikit pewarna hijau. ;-)

Wednesday 21 October 2015

CHOCOLATE BROWNIES

Petang semalam setibanya di rumah jam telah menunjukkan pukul 6.45 pm. Ada tetamu nak bertandang ke rumah selepas maghrib. Belek-belek jumpa resepi Chocolate Brownies dari www.food.com website. Sebab rating tinggi, saya pun mencuba. Ternyata hasilnya menjilat jari. Seronok tengok tetamu berulang-ulang tambah. ;-)
Resepi ni mudah dan cepat. Masa yang saya gunakan untuk sediakan adunan kira-kira 15-20 minit, dan kemudian 30 minit untuk masak dalam oven.

Bahan-bahan

3/4 cawan serbuk koko
3/4 cawan mentega (resepi asal menggunakan shortening)
2 cawan gula
4 biji telur
1 sudu teh esen vanila
1 1/4 cawan tepung gandum
1 sudu teh garam halus
1 sudu teh baking powder

Cara-caranya

  • Panaskan oven pada suhu 180 darjah Celcius
  • Cairkan mentega dalam kuali atas api kecil. Setelah cair, masukkan serbuk koko dan kacau rata. Kemudian tutup api. Tukar adunan ke dalam bekas yang sesuai
  • Masukkan gula dan esen vanila, gaul rata
  • Masukkan telur, kacau rata (Telur dimasukkan satu persatu)
  • Masukkan tepung gandum, baking powder dan garam. Gaul sebati
  • Masukkan adunan ke dalam loyang dan bakar di dalam oven selama 30 minit
  • Setelah agak sejuk sedikit, potong dan .. jemput makan!
* Saya cuma kacau adunan menggunakan pemukul telur, sebab nak cepat. Hasilnya menjadi. Nak guna electrical mixer pun ok, tapi tak perlu kacau lama.. 1-2 minit untuk setiap kali kacau dah mencukupi.

Selamat mencuba!