Tuesday 8 December 2015

Pak Yus dalam kenangan

Pada 30 November 2015, kita dikejutkan dengan pemergian Pak Yus kumpulan Jambu, pelawak tanah air. Pak Yus pergi pada usia muda 39 tahun. Pemergiannya secara mengejut memang menggemparkan kerana rasanya rata-rata daripada kita melihat Pak Yus sihat dan steady je.

Seingat aku tak pernah la aku kisah sangat sebelum ni bila mendengar berita kematian artis.. Tapi bila arwah Pak Yus pergi, tak dinafikan memang sedikit sebanyak aku rasa sedih.
Bagiku jenaka Pak Yus sangat menghiburkan dan sempoi :-) Selepas ni, tak ada dah peluang melihat gelagat lucu Pak Yus di kaca TV.

Sebenarnya pemergian arwah Pak Yus memberi beberapa pengajaran, setidak-tidaknya buat aku.

  1. Mati tidak mengenal usia. Mati bukan hanya sinonim untuk mereka yang tua, yang sakit. Pesan PU Taha dalam tazkirah pada rancangan khas mengingati Pak Yus Jumaat lepas - Orang yang paling pandai bukanlah orang yang paling berilmu, bukan juga mereka yang paling banyak mengumpul harta. Tetapi orang yang paling pandai adalah mereka yang paling banyak mengingati mati dan paling bersedia menghadapinya. Ya Allah, semoga aku sentiasa ingat tentang ini.
  2. Dalam rancangan mengingati Pak Yus jumaat lepas, didedahkan bahawa Pak Yus suka memberi hadiah. Beliau memberi hadiah seruling, jersey, dan apa saja hadiah walaupun simple, kepada kawan-kawannya. Kawan-kawannya pun artis, bukan orang miskin yang memerlukan pun. Tapi itulah sifatnya, suka memberi. Disiarkan juga bahawa Pak Yus ada pergi ke rumah anak yatim, sekolah agama, dan rumah orang-orang tua di negeri asalnya, Perlis. Beliau berjumpa dan menghiburkan hati penghuni rumah tersebut serta memberi sumbangan kewangan. Kata Pak Yus, "Duit yang saya dapat ni bukan duit saya, tapi duit anak yatim, OKU dan orang miskin." Ya Allah, bertuahnya Pak Yus. Sifatnya yang suka memberi menjadikan beliau disenangi oleh teman-temannya. Sedekah jariahnya menjadi pelaburan akhirat yang terus menerus menyemai pahala. Semoga Allah merahmatinya. Bagaimana pula dengan aku? Apakah tanganku masih berat untuk menghulurkan bantuan? Gemar melabur dalam ASB, tabung haji tetapi melupakan saham akhirat??? Harta pelaburan kamu yang sebenar adalah harta yang kamu belanjakan pada jalan Allah.
  3. Jangan memandang rendah pada orang lain. Sekalipun dia artis, dia tidak sempurna menutup aurat, dia tidak sewarak kamu, mungkin amalan baiknya lebih banyak daripada kamu. Mana tahu amalannya lebih diterima Tuhan daripada amalan orang yang 'warak' tetapi suka mencaci dan ujub dengan kebaikan diri sendiri.
  4. Rakan-rakan seperjuangan Pak Yus mengalirkan air mata dengan pemergian Pak Yus. Bagiku, mereka sungguh-sungguh menangis. Mereka menyatakan rindu pada kemesraan Pak Yus. Pak Yus suka memuji, Pak Yus menenangkan dan memberi suntikan semangat bila mereka 'down', Pak Yus suka buat kejutan cium pipi :-P. Well.. aku tak pasti adakah kawan-kawanku akan menangis begitu bila aku mati. Semoga aku juga dapat menjadi manusia yang membuatkan orang lain rasa senang dan gembira dengan kehadiranku. 
Terima kasih Pak Yus. Kehadiranmu menghiburkan kami, pemergianmu satu kehilangan. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa dan menilai segala usaha kebaikanmu. Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment